11/11/2019

Model ADDIE


  1. Analisis dilakukan terlebih dahulu iaitu mengenalpasti masalah secara keseluruhan.
  2. Merekabentuk bahan selepas proses analisis selesai.
  3. Pembangunan iaitu membangunkan perisian dengan menggunakan aplikasi-aplikasi yang ada.
  4. Pelaksanaan iaitu menguji keberkesanan serta masalah-masalah yang mungkin berlaku semasa proses rekabentuk dan pembangunan.
  5. Penilaian adalah untuk mendapat maklumbalas daripada pengguna terhadap keseluruhan perisian yang diajar.


Model TIP

Teknologi memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Sumber teknologi perlu dirancang dengan teliti sebelum pengajaran bermula agar matlamat pengajaran dapat dicapai seiring kehendak guru.



                     Model TIP (Technology Integration Planning) merupakan sebuah pelan pengajaran yang boleh digunakan oleh guru sewaktu memilih strategi dan bahan terbaik dalam mengintegrasikan penggunaan teknologi digital bagi memenuhi keperluan mereka dalam menyampaikan pengajaran. Model ini memberikan pendekatan umum kepada guru untuk mengenalpasti dan menangani masalah yang timbul dalam melaksanakan pengajaran berteraskan teknologi. 

Roblyer & Doering (2010) menerangkan lima fasa utama dalam model TIP, iaitu: (i) penentuan kelebihan relatif, (ii) penentuan objektif dan penilaian, (iii) penghasilan rekabentuk strategi integrasi, (iv) penyediaan persekitaran instruksional, dan (v) penilaian dan semakan strategi integrasi (Rajah 1).


Rajah 1: Model TIP oleh Roblyer & Doering (2010)


                     Perancangan pengintegrasian teknologi melalui model ini bermula dengan proses menentukan kelebihan relatif sesuatu aset teknologi. Guru perlu menganalisa secara jelas masalah pembelajaran yang wujud, seterusnya meneliti keupayaan pilihan teknologi yang ada bagi mengatasi masalah tersebut. Menurut Nayan (2014), keupayaan teknologi boleh dianalisis berdasarkan tiga aras, iaitu aras teknologi, aras perwakilan, dan aras pemprosesan maklumat. Penilaian pada aras pertama adalah dengan mengenalpasti dan membandingkan ciri pelbagai teknologi berlainan. Setelah perbandingan terhadap ciri-ciri dibuat, guru perlu memahami bentuk perwakilan maklumat teknologi tersebut samada berbentuk teks, grafik, animasi, audio ataupun video, dan kemudiannya memilih strategi yang bersesuaian dengan keupayaan pelajar memproses maklumat.


                     Fasa kedua menurut model TIP adalah penentuan objektif dan penilaian. Objektif pengajaran ditentukan berpandukan kepada huraian sukatan pelajaran dan haruslah mencakupi aspek aras kemahiran, tingkahlaku yang diukur serta kandungan matapelajaran. Guru juga perlu mengenalpasti strategi terbaik untuk mengukur atau menilai hasil pembelajaran setelah sesi pengajaran selesai.

                     Fasa seterusnya merupakan proses merekabentuk strategi integrasi. Strategi yang dipilih haruslah berteraskan kepada masalah pembelajaran yang telah dikenalpasti. Peringkat ini penting memandangkan ianya akan mempengaruhi jenis teknologi yang digunakan. Antara strategi pengintegrasian termasuklah strategi pembelajaran langsung, pembelajaran konstruktivis, serta pengajaran gabungan langsung dan konstruktivis.

                     Fasa keempat dalam model ini adalah menyediakan persekitaran instruksional yang terdiri daripada elemen-elemen berikut; (i) perkakasan dan perisian computer, (ii) masa penggunaan, (iii) keperluan untuk pelajar bermasalah, dan (iv) perancangan penggunaan teknologi yang rapi. Fasa ini perlu dijalankan seiring dengan fasa ketiga.

                     Penilaian dan semakan semula strategi pengintegrasian merupakan fasa terakhir yang terkandung dalam model TIP. Penilaian dan semakan menyediakan ruang kepada guru untuk memperbaiki sebarang kesilapan dan kekurangan dalam melaksanakan strategi yang dipilih. Refleksi boleh dilakukan melalui penilaian objektif pembelajaran ataupun maklumbalas dari pelajar.


RUJUKAN
Nayan, N. (2014). Unit 2: Perancangan dan Pelaksanaan Pengintegrasian Teknologi dalam
Pendidikan. Issuu. Laman sesawang: https://issuu.com/norizanayan/docs/unit_2_-
_perancangan_dan_perlaksana [Diakses pada 5 November 2019].

Roblyer, M. D., & Doering, A. H. (2010). Theory and practice: Foundations for effective
technology integration. Integrating educational technology into teaching, 3.